Berjurai air mata membasahi telekung yang dipakai Isdiyanti.
“Mengapa Sayangku, tiba-tiba menangis?”, suara lelaki memecah kesunyian keheningan pagi.
Matahari belum memancarkan sinarnya, azan Subuh masih belum berkumandang. Yang ada hanya bunyi cengkerik bertasbih memuji Tuhan, deru angin lembut melambai pohonan di luar rumah seakan meraikan rahmat yang turun ketika itu.
“Is cemburu”, ujar Isdiyanti sambil menyeka air matanya. Mereka berdua baru sahaja usai solat Tahajud berjemaah, di kamar bahagia mereka.
“Aik, tiba-tiba je Is cemburu. Mengapa ni, Abang ada buat salah pada Is? Kalau ada maafkan Abang ye. Is cinta dan ratu hati Abang dunia dan akhirat”, Iskandar memujuk isterinya yang masih menangis sambil meramas tangan isterinya itu. Tak sanggup hati lelakinya melihat air mata jatuh dari insan yang amat dicintainya itu.
“Dunia akhirat?”
“Ya, dunia akhirat. Kenapa Is tanya macam tu?”
“Abang mungkin hanya boleh menjamin Is cinta Abang di dunia, tapi tidak di akhirat”.
“Maksud Is?”
“Is cemburu kalau-kalau Abang ada bidadari lain di syurga, manakala Is berada di tempat lain”, Isdiyanti semakin sebak meluahkan bicara hatinya.
Iskandar tersenyum. Itu rupanya yang menjadi punca cemburu isterinya itu.
“Tadi Abang bacakan surah Al-Waqiah dalam Tahajud kita pagi ini. Tatkala melintasi ayat 22-23, yang bermaksud ‘Dan (di dalam syurga itu) ada bidadari-bidadari yang bermata jeli, laksana mutiara tersimpan’, Is teringatkan ganjaran syurga utk lelaki dan wanita yang soleh. Antara nikmat yang terbesar disebut berulang kali dalam Quran adalah bidadari-bidadari yang tidak pernah disentuh oleh sesiapa manusia mahupun jin”, Isdiyanti mula menyusun kata, berkongsi apa yang menjadi kebimbangannya.
“Benar Sayang, sememangnya itulah nikmat dan ganjaran buat hambaNya yang banyak mengorbankan dirinya demi perjuangan Islam. Syurga itu buat mereka yang mengekang dirinya daripada dirinya dikuasai nafsu. Manakala neraka adalah tempat bagi mereka yang menderhaka dan menidakkan suruhan dan ajaran Tuhan. Abang juga bimbang kalau-kalau Is juga memiliki orang lain di syurga kelak. Tentu Abang juga amat cemburukanmu”, Iskandar juga turut sama menyertai emosi yang dibawa isterinya pada pagi itu.
Kedua-duanya termenung.
Bermuhasabah merenung amalan yang cetek sekali. Masih banyak tanggungjawab dakwah yang masih belum diselesaikan.
“Abang, apabila memikirkan tentang nasib kita di akhirat, kegerunan melanda. Entah apalah nasib kita, baik atau buruk. Cukupkah amalan kita utk melepasi pengadilan Allah kelak?”, Isdiyanti mencerlung muka suaminya dengan harapan suaminya dapat memberi jawapan yang bisa melabuhkan ombak gundah di hatinya.
“Andai kata kita dipilih Tuhan utk menjejaki syurga, itu kerana rahmat Tuhan. Namun, usaha kita juga kenalah berterusan dan penuh dengan kerendahan hati pada Tuhan”.
“Susah kan bang nak jadi hamba yang soleh. Banyak betul cabaran yang datang. Terkadang lemah semangat dibuatnya”.
“Jangan begitu sayang. Allah melarang kita daripada berputus asa mengejar rahmatNya. Biar sebesar mana pun ujian dan dugaan yang datang dalam hidup kita, anggaplah ianya sebagai tarbiyah dan latihan untuk kita menjadi lebih kuat. Apa saja yang Allah datangkan dalam hidup kita semuanya tidaklah sia-sia. Cuma kita kenalah pandai menilainya, sama ada dengan pandangan negatif atau positif.”
“Wah, dah jadi motivator pulak Abang ni. Hehe.. ”.
“Mestilah, tengoklah siapa suami sayang ni. Dan juga suami kepada ….”, Iskandar berlakon seakan memikirkan seseorang.
“Haa!! Suami kepada siapa, Abang? Ada hati ye nak buka cawangan satu lagi ye?”, Isdiyanti mencubit nakal suaminya, geram dengan usikan suaminya itu.
“Alaa.. Abang tak habis cakap lagi. Suami kepada bidadari Abanglah. Mudah-mudahan kita sama-sama dipilih Allah utk menjadi ahli Jannah, dan Is menjadi ketua bidadari Abang nanti,” cubitan manja Iskandar singgah di hidung permaisuri hatinya. Geli hati melihat muncung isterinya itu.
“Amin.. mudah-mudahan. Jadi, nakkan suatu perkara yang mahal, kenalah kerja keras. Berusaha perbaiki diri, perbaiki keluarga, perbaiki umat. Mudah-mudahan kita ini dinilai Allah”.
“Ya Sayang, semoga baitul dakwah kita ini dihiasi dengan semangat dan roh perjuangan. Cinta yang dihiasi dgn tadhiyah, Allah akan menggantikannya dengan ganjaran yang lebih baik. Terima kasih Sayang, kerana sudi menjadi sayap kiri Abang, kita akan sama-sama melayari empayar dakwah ini bersama”, Iskandar mengucupi dahi isterinya.
Sungguh syahdu pagi nan hening itu, muhasabah sepasang suami dan isteri yang meletakkan cinta Allah teratas dalam kehidupan. Azan Subuh memecah kesunyian, menyaksikan dua hati merendahkan diri memohon ampun pada Al-Khaliq, memohon agar terus thabat dalam perjuangan dan juga mati dalam kemuliaan.
3 comments:
salam sufiah. fuhhh..sejak kahwin ni, dah mmg masuk genre lain dah. kwsn yg org2 single x leh/ xbrni nk masuk. hehe~
k2, teruskan menulis! moga terus jadi saham kita utk akhirat.. =)
innani-Hidayah:
hehe.. boleh je masuk. :) saja je buat genre pelbagai skt. tambah2 dah ada pengalaman ni. hehe. trm ksh atas nasihat :)
salam`alaik..madam sufi..Jazakillahu khair..cerita ini menyentuh hati kecil ini dan mengingatkan daku pada seseorang yang bernama suami..^^ S.A.B.A.R
Semoga cinta ALLAH mendahului cinta yang lain..TAKBIR !!!
Post a Comment