Followers

Tuesday, October 2, 2012

Siapa nak jadi, jadilah

“Marwan, kau tak pergi mengundi ke?,” Suara Majdi memanggu perhatianku yang sedang asyik mengadap facebook di ruang mejaku.

“Terkejut aku. Kot ye pun bagilah salam dulu,” aku menegur teman sebilikku itu yang sememangnya gemar muncul tiba-tiba dalam bilikku di Mahallah Bilal ini.

“Oh ye. Sori. Assalamualaikum Marwan. Hehe”, Majdi tersengih.

“Waalaikumussalam. Haa, pandai pun bagi salam. Aku tak pergi pun mengundi. Hari ni kelas aku batal, jadi aku berehat jelah dalam bilik. Malas pulak nak ke tempat kuliah semata-mata nak pergi mengundi”, aku menjawab acuh tak acuh. Membiarkan Majdi yang melabuhkan punggungnya di birai katilku yang tidak bercadar.


“Malas? Kau tak nak pilih ke calon pemimpin yang akan pegang tampuk kepimpinan SRC lepas ni?” Majdi seperti kurang senang dengan jawapanku.



“Aku tak pernah kisah pun. Siapa nak jadi, jadilah. Aku tak de urusan pun dengan siapa yang naik jadi pimpinan. Yang penting aku belajar, pergi kelas, buat assignment, jawab exam. Pastu grad dengan jayanya di UIA ni. Malaslah nak fikir banyak-banyak tentang hal-hal sampingan ni”, aku berterus-terang apa yang terbuku di hatiku tanpa ada pembohongan sedikit pun.

“Hal sampingan kau kata? Itulah, asyik mengadap facebook je. Tak de kesedaran langsung tentang political education ni. Memilih siapa yang akan memimpin pelajar di UIA ni tanggungjawab kita, tahu tak?” Majdi semakin meninggikan suaranya.

“Memanglah tanggungjawab. Tapi kan ramai lagi orang yang pergi mengundi. Lagi pun aku tak nampak apa kelebihan kalau aku mengundi diorang ni. Diorang yang dapat jawatan, aku yang mengundi ni bukan dapat apa-apa pun”, aku mula menumpukan pada perbincangan dengan Majdi dan menutup laptopku.

“Nampaknya kau ni masih tak faham mengapa kita perlu mengundi. Aku nak tanya kau, selain belajar dalam kelas dan markah tinggi apa yang kau nak di UIA ni?” Majdi mengajukan soalan yang memaksa aku berfikir seketika.

“Apa yang aku nak di UIA? Erm.. Makanan sedap, katil empuk, kemudahan asas.. Yang tu ke maksud kau?”, aku mula menggaru kepala yang tidak gatal.


“Makan je yang kau fikir ek. Kau nak tak hidup di UIA ni dengan keadaan biah solehah? Maksud aku persekitaran UIA yang mengamalkan kehidupan dan peraturan Islam, contohnya macam sister tutup aurat dengan betul, tak de program-program yang melaghakan, banyak program islamik dan ilmiah?” Majdi memberi contoh, mencerahkan aku yang kurang pengetahuan ini.


“Eh, tentulah nak. Walaupun kau nampak aku ni macam sempoi je, tapi hati baik tau. Tentulah aku nak suasana macam tu. Apa kau kata tadi? Biah solehah? Haaa… aku nak UIA ni ada biah solehah lah. Jadi, apa kaitannya dengan mengundi ni?”, aku mengerutkan muka, meyakinkan Majdi yang ada sesuatu yang perlu aku tahu.

“Haa.. dengan mengundilah menunjukkan usaha kau untuk dapat biah solehah di UIA ni,” Majdi bersuara dengan yakin.

Majdi masih memberi jawapan yang sukar dibaca.

“Maksudnya?,” aku menyoal.

“Dengan memilih pimpinan yang baik, yang akan membawa agenda-agenda Islamik, yang mempunyai akhlak yang baik dan bagus, dan kau yakin calon yang kau pilih tu akan membawa perubahan yang baik pada UIA yang tercinta ni”, Majdi menjelaskan.

“Macam mana aku nak tau calon mana yang baik? Aku manalah kenal dengan calon-calon yang bertanding tu,” aku masih lagi melemparkan persoalan di minda.

“Dengan merisik maklumat dan bertanya pada kawan-kawan kita. Kau dapat kan mini poster calon-calon yang bertanding?” .

“Dapat. Tapi semua macam ok je”.

“Tak pe, nanti kau cubalah tanya kawan-kawan kau tentang peribadi calon-calon ni. Aku dah ada calon pilihan untuk IRK”, Majdi tersengih lagi menampakkan giginya yang tersusun tidak berapa cantik.

“Ok lah. Aku dengar cakap kau. Nanti kalau naik pimpinan yang tak betul, aku kena jawab ngan Tuhan plak kenapa aku tak de usaha pilih pemimpin aku kan. Tak gitu Ustaz Majdi?”, aku mula terpengaruh dengan kata-kata Majdi.

“Ya, tepat sekali. Pandai pun kau”, Majdi menepuk bahuku.

“Err.. Pinjam motor kau boleh? Kau kan nak suruh aku pergi mengundi kan? Jadi kau kenalah berbesar hati meminjamkan aku motor kau. Hehe”, seronok aku menyakat temanku itu.

“Boleh, tak de masalah. Tapi aku nak kau tahu satu perkara sebelum kau pergi”, Majdi memaparkan muka yang serius.

“Apa dia?”

“Sebenarnya aku pun tak pergi mengundi lagi. Jom kita pergi sama-sama. Hehe, jangan marah ye ”, Majdi tersengih lagi..

“Ceh. Sabar jelah”

Kelihatan 2 pemuda menaiki motosikal menyusuri keluar meredah angin sepoi-sepoi bahasa keluar dari mahalah menuju ke tempat mengundi.

Tuesday, August 14, 2012

Roti Jala Sardin Warna Warni

Assalamualaikum..
Salam Lailatul Qadar..

Hari ni semangat nak post ttg roti jala ni, 1st time post ttg resipi.

Al kisah bermula, biasalah bulan puasa ni suami nak makan kuih. salah satu favourite dia adalah roti jala.. Tapi bila nak bila, mahal sungguh! ada yg 5 RM 2, ada 5 RM 3.. huhu, bukan kedekut tp x puas makan.

Suami suruh saya yg buat.
Buat? Tak retilah.
Belajarlah, kata suami.
Saya diam, adoi mana reti nak menjala.

 Tapi hati isteri kan, permintaan suami susah nak tolak..

Then sy google resipi, choose the best one dan mudah. Pastu lepas kelas, sy pergi beli alat nak menjala dan frying pan. Bahan-bahan x susah pun, ssemuanya dah tersedia. Surprise utk suami tersayang.

Ni bahan-bahan utk adunan roti jala.. Sumber dia x ingat dah ambik kat mana.

2 cawan gandum
1 cawan santan
1 cawan air
sebiji telur
beberapa cubit garam
pewarna (x kisah warna apa)
then semua ni blender, dan perap dulu dalam 15-30 minit

Pertama kali menjala, banyak yg rosak. Baru tau susahnya menjala. Kali ke -4/5, baru nampak progress. Untuk kali pertama saya makan dengan gulai ayam.

Lepas makan, dapat pujian suami. Hilang semua penat lelah buat roti jala ni. sepanjang hari tersengih je memanjang. hehe.

Dan kelmarin, saya buat lagi. Kali ni saya tgk kat u-tube dulu cara nak menjala. Dan sy x guna gulai, tapi letak sardin kat dalam roti jala ni.. Jom tengok

adunan 3 warna

selepas menjala

letak sardin dan gulung

dah siap!! Alhamdulillah :)

Selamat Mencuba :)

Friday, August 3, 2012

Ku tatap wajahmu, suami dan anakku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Waktu sekarang menunjukkan jam 2.45 am. Anak dan suami telah lama tidur, merehatkan diri, menikmati keindahan malam dengan tidur.. Nikmat Allah yg tidak terhitung.

Firman Allah: "kami jadikan malam sbg pakaian".

Malam ini, entah mcm mana sy ternampak satu link d fb. Saya buka. Ni link nya.

http://mawarnafastari.blogspot.com/

Rupa-rupanya pemilik blog ini telah pun kehilangan suaminya yg tercinta.. Berderau hati sy membacanya. SEBAK.

Bagaimana kekasih hati yg kita cintai, tp akhirnya x sempat utk bersama d dunia smpai menimang cucu.
Allah Maha Mengetahui.. Kehidupan d dunia hanya sementara, akhirat yg kekal abadi.

Lepas membaca blog, sy renung wajah suami dan anak yg sdg tidur.. Aku bertuah memiliki mereka d sampingku. Terima kasih ya Allah, mereka penguat hatiku, sumber motivasiku..

Apa tanda syukur dgn nikmat insan tersayang ini??

Semasa menonton drama "Ketika Cinta Bertasbih" yg saya download d You Tube, satu kata-kata Anna Althafunnisa' "Semoga Allah mengizinkan saya utk sentiasa berkhidmat pd suami ku".

Ya. berkhidmat pada suami. Membantu seboleh mungkin pada suami dan anak..

Saya ingin jadi bidadari suami d dunia mahupun d akhirat kelak. Meskipun terasa diri sememannya x layak, namun sy doakan smg Allah sentiasa memberi kekuatan pd diri utk buat yg terbaik pada kedua cinta hatiku ini..

Suamiku,
Cinta dan sayang untukmu
Pateri kasih dua jiwa
terpahat mendalam di kalbu
Aku mencintaimu
Sepenuh jiwa ragaku
Kerana cintaku adalah ibadah
Buat manusia mulia sepertimu

ya Allah, kukuhkan cinta kami ini
Bawalah kami merentasi samudera ini
Pimpinlah tangan kami menujuMu
Menggapai redhaMu

Wednesday, July 11, 2012

suram..

suram.. muram.. malap.. gelap
itulah warna jiwa

apakah kerana jauh dari Tuhan
apakah kerana dosa yang melingkari
apakah kerana diri yang menyendiri

terseksa..
dengan jiwa raga

terhimpit..
dengan ruang yang sempit

tertekan..
dengan keadaan yang menekan

inginkan ketenangan
dari Yang Esa

Puas mencari
sepanjang hidup
kebahagiaan hakiki
namun masih belum ditemui

mengapa sukar?

Monday, July 2, 2012

Marwan Setahun

Bismillahirrahmanirrahim

1..2
1...2..3

senaman jari skit sebelum mula menulis, almaklum lama x sentuh blog ni.. hehe.

Assalamualaikum.. Apa khabar shbat2 semua? maaflah lama x update. Kalau nk kata sibuk tu, tipulah kan. Ada je masa.. cuma bila dah lama tinggalkan menulis blog ni, bila nak menulis balik jd malas dan tak semangat.

Tapi satu hari Abu Marwan berkata pada saya "Tulislah blog tentang Marwan setahun". Bila ada pendorong mcm ni tiba-tiba rasa semangat balik. tambahan plak hari ni kelas Tilawah batal jadi adalah masa sket untuk update.

Nak start enjin menulis ni, saya mulakan dengan alkisah putera comel Marwan Majdi. Lama x menulis tentang anak soleh Marwan ni. Alhamdulillah 19 Jun yang lalu Marwan Majdi genaplah setahun usia beliau dan tarikh ni jugak ulangtahun saya masuk hospital untuk bersalin. Pengalaman tu tak boleh lupa tapi kesakitan tu dah tak ingat. Inilah hikmah Allah beri 'lupa sakit' pada ibu supaya dia dapat hadapi proses melahirkan anak utk anak seterusnya..

Syukur sebab Marwan boleh berjalan dgn usia 9 bulan. Marwan x lama merangkak, sbb dalam tempoh 6-9 bulan ni Marwan suka bangun berdiri. Dalam tempoh ni mmg Marwan banyak jatuh, jatuh bila berdiri, jatuh katil. Benjol sana, benjol sini. Tapi alhamdulillah Marwan seorang yang lasak, bila jatuh, menangis sket lps tu diamlah.

Bila dah boleh berjalan ni, mulalah menolong Ummi mengemas rumah. So, rumah saya x ada rekod kemas utk tempoh yang lama, sbb Marwan akan membantu memberikan saya kerja. Kain utk dibasuh dalam raga akan dikeluarkan, kain yang dah dilipat kemas dalam almari akan dipunggah keluar, kain yang dah dilipat akan dibuka balik, bekas-bekas yang dah dibasuh atas rak akan diturunkan...

kadang-kadang letih juga nak mengemas, tapi kadang-kadang lucu pun ada.
Saya kena latih diri saya utk tak jemu mengemas kalau nak rumah cantik. kami berdua akan berlawan dalam rumah, Marwan punggah sy kemas. punggah, kemas. punggah, kemas. punggah, kemas...

Tapi skrang ni saya yang kalah. Marwan punggah.. punggah.. punggahh.. saya x kemas-kemas. hehe.
Ini masa kecik je.. InsyaAllah nanti bila dah besar Marwan kemas Ummi rehat ye.. :)

Apa Marwan dah boleh buat skrang?

Bye bye.. dia akan gamit tangan bila nak babai
Sayang... dia akan cium pipi
meowww..... dia akan cari kucing
Allahuakbar... dia angkat takbir
bentang sejadah.. dia angkat takbir dan sujud
buka buku.....  eeeeaeaeaee (baca quran versi baby)
lion... dia tnjuk gambar singa kat tikar ABC

Satu bahasa baru, kalau dia nak makan sesuatu dia akan sebut.. Am, am... so fahamlah dia nak makan.
pernah satu hari dia pegang balang kismis, dan tunjukkan pada saya dan sebut: ahm, ahm..
Rasa seronok sgt masa tu sbb Marwan pilih makanan sunnah ni sbg favourite :)

saya perhatikan, Marwan tidaklah berminat kalau saya buka kartun. Dia cuma akan fokus pada TV bila ada azan, selawat, lagu2 nasyid, bacaan Quran kanak-kanak sambil enjut2 badan dan tepuk tangan. jadi Abu Marwan belikan banyak CD mengaji kanak-kanak utk tontonan Marwan.

tak lupa, gigi Marwan ada 4 di atas 2 di bawah. saya belikan satu berus gigi kanak-kanak yang soft, then saya berus gigi dia setiap pagi. Mula-mula saya berus gigi saya depan Marwan beberapa kali, then bila saya nk berus gigi dia, dia buka mulut dan serahkan gigi dia..

Tentang car seat, sebelum ni saya letak Marwan atas car seat. tp entah mengapa dalam seminggu tu bila diletakkan Marwan menangis. kadang-kadang saya letak atas riba saya sambil drive, kdg2 sy paksa juga marwan dok atas car seat sbb x nak ajar dok atas riba. saya terfikir, mengapa Marwan menangis? Iyelah baby mungkin nak bgtau sesuatu kan..
Then saya cuba alihkan car seat tu then letak Marwan atas kerusi biasa kat depan sebelah driver tu. Alhamdulillah Marwan tak menangis. Marwan duduk then saya tarik seat belt supaya dia x jatuh ke depan bila brek.. Apa sebenarnya yang Marwan cuba bgtau?? SAYA DAH BESARLAH UMMI!! NO MORE CAR SEAT! :)

Mungkin cukup takat ni dulu. saya pernah terbaca di fb, kalau nak anak hati lembut, mak ayah kena banyak bersedekah. Kalau nak anak cerdik, mak ayah kena slalu baca Quran. InsyaAllah kita sama-sama cuba amalkan. amalan2 yang baik ni sebenarnya semuanya utk manfaat kita dunia akhirat. Jd kenapa nak kedekut buat amalan?

last but not least, doakan Marwan Majdi akan jadi penolong agama kelak, berada dalam golongan Huffazul Quran... masa saya mengandungkan Marwan kerap kali saya berbicara dengan si anak.. "Apa yang paling Ummi inginkan adalah doa anak Ummi yang soleh sebagai bekalan di kubur Ummi nanti...
Dan kalau boleh Ummi dan Abi juga inginkan mahkota di syurga yg dipakaikan Marwan.."

Allah.. Allah. ketika saya menulis perkataan-perkataan ini, tiba-tiba dtg satu perasaan..
Apa yang aku harapkan sekarang, sama juga seperti yang diharapkan oleh ibu bapa kandung dan mertuaku. Selagi aku hidup, selagi itulah peluangku utk berbakti pada orang tua masih ada..
ya Allah, moga hidup yang singkat ini dapat kami jadikan medan utk berbakti terutama pada ibu bapa yang bersusah payah membesarkan kami.. Amin..

Sebagai tatapan, saya sertakan bersama gambar-gambar Marwan bermula lahir hinggalah sekarang. Lihatlah perubahan wajah Marwan. hingga ketemu lagi. Maassalamah :)




19 jun 2011- Beberapa jam Marwan dilahirkan. Masa ni ramai cakap muka Marwan macam muka saya


sebelum bercukur



Selepas bercukur


 Hari Akikah, sebulan

Semasa hari raya Aidilfitri, 3 bulan


Dengan baju angry bird

Marwan 4 bulan, dah boleh meniarap



Marwan 7 bulan, dah boleh merangkak dan berdiri






 Marwan setahun! Alhamdulillah. (Tgk skrang dah mcm muka sapa?)

Thursday, February 23, 2012

kehidupan bayi yang memberi motivasi

Bismillahirrahmanirrahim.

Motivasi buat saya dan anda semua.

Bila saya tengok Marwan, saya tahu yang saya juga pernah menjadi bayi..
Dan perkembangan seorang bayi sungguh mengujakan dan memberikan motivasi..

Ketika ini selama 8 bulan saya sebagai ibu melihat sendiri perkembangan kehidupan Marwan. Daripada seorang bayi baru lahir yang hanya mampu berbaring tak mampu buat apa-apa, hinggalah meniti waktu demi waktu yang beredar, Marwan sedikit demi sedikit mula meniarap, mengenal ummi dan abi, memegang botol sendiri, ketawa, memegang benda sendiri dan hinggalah sekarang apabila Marwan dah mula merangkak, dia bebas untuk ke mana sahaja tanpa perlu bergantung pada sesiapa.

Proses Marwan utk mula meniarap, merangkak dan berdiri bukanlah suatu perkara yang mudah.



Ketika mula nak meniarap, Marwan akan keletihan dan x dapat nak bertahan lama. Dia perlukan bantuan utk membaringkan dia semula. jika tidak, dia akan lemas tak mampu bertahan. Marwan alami perkara tersebut hinggalah dia mampu meniarap dan berbaring semula dengan sendirinya.

Sedikit demi sedikit, tangan Marwan akan mula gagah utk mengangkat badan dan punggungnya utk mula merangkak. tetapi tidak mudah utk Marwan merangkak. Apa yang dia alami, adalah badan yang diangkat akan terjatuh semula. begitulah setiap hari keadaan yang Marwan hadapi.

Hinggalah masa yang beredar menentukan Marwan dah pun boleh merangkak dgn baik. Dan Marwan dah pun mula utk berdiri sambil berpaut pada sesuatu. Pautan Marwan yang masih tidak kemas dan tidak stabil membuatkan Marwan selalu jatuh, dan akhirnya Marwan menangis menunjukkan dia berasa sakit. Sakit yang dialami Marwan tidak membuatkan Marwan serik, tapi terus mencuba utk bangun berdiri biarpun jatuh lagi berkali-kali.

Latihan Marwan berdiri setiap hari membuatkan Marwan dah semakin stabil, dan Marwan dah pun mampu utk berdiri tanpa pautan.

dan satu hari nanti, marwan akan mula berjalan dan berlari dengan pantas, dan akan mengenal dan memahami semua yang ada d sekeliling. insyaAllah.

Allahuakbar!

Bila saya merenung keajaiban Tuhan pada kehidupan seorang bayi ini, rasa insaf dan takjub dgn ilham yang Allah kurniakan pada bayi. Tidak pernah kita temui walau satu pun bayi normal yang tidak dapat berjalan hingga besar kerana takut.

Yang menjadi motivasi kepada saya adalah sikap bayi yang tidak pernah putus asa dan serik untuk mencapai pertumbuhannya.

Dulu bertatih, sekarang berlari 

kata-kata ni saya selalu pegang dalam diri. Inilah kehidupan kita tak kira sewaktu bayi ataupun usia kita yang dewasa ini. 

banyak perkara yang mampu kita kaitkan dgn kesusahan utk mencapai sesuatu.
Contohnya,
Dalam proses pembelajaran d universiti, kita akan berhadapan dgn subjek-subjek yang susah dan lambakan kerja yang macam-macam. Kadang-kadang sering timbul perasaan putus asa dan dan serik utk berhadapan dgn semua ni. 
Namun, proses menuntut adalah suatu proses utk mendekati ilmu dan menutup kejahilan. Dan proses ini agak sukar melainkan  akan didapati oleh insan-insan yang kuat dan cekal jiwanya.

kdg2, bila menghadapi segala kesukaran ini, saya akan merenung Marwan. Sedangkan Marwan juga menghadapi kesusahan utk mencapai pertumbuhannya, begitu juga saya yang sudah pasti akan melalui kesusahan demi kesusahan yang pastinya akan mengubah hidup saya menjadi lebih baik.. 

Subhanallah. Telitilah setiap perjalanan hidup kita, pasti ada ibrah di situ.

terima kasih Marwan, dalam diam Marwan telah menjadi sumber motivasi pada Ummi utk terus mengejar kejayaan dunia dan akhirat!! :)

Tuesday, February 7, 2012

Aktiviti Marwan di Terengganu

Assalamualaikum wbt.

Cuti semester yg lepas, habis je exam saya buat permohonan pada suami utk balik ke Terengganu selama seminggu. Alhamdulillah, abg yg sporting meluluskan permohonan saya. Kesian juga kat suami yang sorang-sorang d Gombak, tp 4 hari je. hehe.

Seminggu d terengganu, kami x ke mana-mana. Tapi banyak betul aktiviti Marwan d kampung, dan masa ni Marwan mmg manja betul dengan tokki (ayah saya), sbb tokki rajin bawa dia g jalan-jalan keliling rumah. Biarlah gambar2 ni yang bercerita ttg aktiviti Marwan ye :)



Main daun palas. Nek Wan (nenek saya), cuti raya cina ni nak buat ketupat. Ajak Marwan sekali lipat daun, bukan main seronok dia.


Aksi baru lepas mandi.. hanger adalah barang kegemaran marwan


camnilah Marwan pagi-pagi. Teman tokki baca Quran.. Tokki tu tengah kontrol Marwan, sbb tangan Marwan cepat dan tangkas bab koyak-koyak ni


ni tgh cium or tengah gigit? Marwan tengah geram sebenarnya dengan patung ni.. habis dia gigit, tarik2, tendang2 patung ni

gambar ni paling best! Marwan tengah teman tok nyang (moyang) ajarkan budak kampung mengaji. Bukan main serius muka

Ramahnya Marwan pergi tegur kakak ni

posing dgn tok nyang!

 kelambu ni saiz XXXL tau! Ummi Abi beli sbb banyak nyamuk di kampung. tengok dalam tu Marwan nampak kecikk je. dia tengah demam

tengah demam. asyik nak tokki dukung je. Malam-malam tokki yang bangun tidurkan marwan merengek sbb demam.

Dengan Nek Wan..

babai Terengganu. nanti Marwan datang lagi yee!!!

seronokmya balik kampungggg!

Marwan 7 bulan

Assalamualaikum wbt.

Sekian lama nak menulis entry ni, tp x tertulis2. bukan senang nak menaip, Marwan akan dtg kat saya bila saya buka laptop. Bukan setakat tepuk-tepuk laptop, bahkan mengorek2 keypad, sampai tercabut dah button F9. itulah asyik menangguh je nak menulis. Bila marwan tidur, masa tu lah sy ambil buat kerja rumah.
Alhamdulillah skrang sy d UIA, sambil2 add lagi satu subjek, sy ambil kesempatan ni utk update blog.

1- Alhamdulillah, dengan izin Allah Marwan masih menyusu badan sepenuhnya tanpa dicampur dgn susu formula. Susu masih banyak, cuma Marwan dah semakin kurang minum sebab dah mula makan makanan pejal. saya selalu berdoa semoga Allah mengizinkan Marwan dapat menyusu sepenuhnya sampai 2 tahun. Amin insyaAllah. tentang pemakanan, Marwan begitu berselera time makan. Sekarang dah makan 3 kali sehari. Biasanya Marwan akan makan bubur + carrot + kentang yang dah diblander. hasilnya, Marwan semakin tegap dan berisi. Tak boleh dukung sebelah tangan dah :)

2- Sejak dah boleh merangkak dan duduk ni, alhamdulillah terasa lebih mudah. nak memasak pun mudah. Kalau letak Marwan kat ruang depan, dia akan dtg sendiri kat dapur. merangkak pelan2. Kalau saya tak sedar dia datang, dia akan tegur saya.. "eeyyy". hehe.

3-punggah. kemas. punggah. kemas. ni rutin saya dan Marwan. kalau jumpa beg baju, Marwan akan keluarkan semua baju dalam tu. then saya lipat balik simpan. kalau ada buku atas meja, marwan akan berdiri, paut pada meja dan tolak semua benda yang ada atas meja. Yang paling ditakuti, marwan yang berjalan dengan walkernya di dapur, nak memunggahkan rak pinggan saya. setakat ni dia tarik tudung periuk dn bekas2 plastik. kalau dipunggahnya barang kaca x taulah :)

4- Sejak Marwan 7 bulan ni lah, kali pertama saya tengok Marwan begitu berminat bila mendengar azan. Kali pertama saya tengok Marwan yang sdg bermain, bila ada azan d TV, dia cepat2 pegi dekat TV dan dok diam depan TV smbil tgk azan. Subhanallah. dan sekanrang ni bila time azan je saya akan buka TV cepat2. Pernah sekali saya d dapur, dan Marwan sdg bermain d dapur, dalam walkernya. Tiba-tiba ada zikir d tv Hijrah oleh Munif, Marwan berkejar dengan walkernya sbb nak tgk dan dgr zikir tu.

5- Marwan dah tau mana pintu nak keluar, dan dah tau kalau ummi dan abi bersiap-siap nak g mana2. Bila abi siap2 nak g kerja, pakai baju kemas-kemas, pakai stokin, Marwan akan merangkak cepat2 kat abi dan minta dukung. pastu bila Ummi minta nak dukung, Marwan dah tak nak. Amboi, bukan main lagi. dan kalau Abi balik dari kerja, Marwan sambut Abi dengan gelak tawa tanda sangat seronok abi balik, sampai ummi pun x nak tengok dah.

6- Marwan sbg alarm pagi. Sekarang ni saya dah x pasang alarm jam. Sebab Marwan mmg bangun awal setiap hari. dalam 5.30 gitu. bila bangun, Marwan x menangis. Dia main sorang-sorang atas katil dan sambil tepuk-tepuk badan saya. Kalau nak buat kerja rumah, saya kena berlumba dan fight dengan Marwan, bangun dulu sebelum dia. hehe

7- setakat ni walaupun Marwan dah kenal org, tp dia boleh lagi didukung oleh sape-sape. Tapi dengan syarat bawa dia berjalan, senyaplah dia. marwan nampak lebih berminat dgn org lelaki berbanding org perempun. agaknya dia tau yg org perempuan x larat nak dukung dia kot :)


Sedar tak sedar Allah dah beri kesempatan kehidupan, dan marwan pun dah 7 bulan! sekejap je masa berlalu. Kalau dulu Marwan hanya mampu berbaring, dan sekarang dah pun boleh meneroka dunia sendri dgn bebas. Maha Suci Allah!

sempena Maulidur Rasul, saya doakan semoga keluarga ku mampu menjadikan rasulullah sebagai ikutan, qudwah hasanah dalam keluarga kami.

allahumma solli 'ala Muhammad

Monday, January 16, 2012

Marwan 6 bulan

Assalamualaikum wbt..

Baru je bersihkan sawang kat rumah, sekarang bersihkan sawang kat blog plak.

Alamak! Ummi terskip laporan marwan 5 bulan!
Bukan apa, hari tu sibuk sikit dgn assignment + marwan demam + final exam + abi demam = x da mood nak update blog. Bukan x de masa sbb masa tu sentiasa ada kalau diurus dengan bijak.

Apapun, 5-6 bulan ni banyak betul perkembangan Marwan.

Macam biasa, 3 bulan lebih Marwan dah boleh meniarap. Then lepas demam 4 bulan, Marwan boleh meniarap dengan laju dan lebih baik, tak terkial-kial spt sebelumnya.

Masa demam 5 bulan, Marwan bermula utk merangkak. Masa demam tu lah punggung Marwan dpt diangkat  dan kaki Marwan  dah berlipat mcm org merangkak. Tp sekejap je sebab tu baru permulaan.

Masa 6 bulan pun demam jugak, syukurlah waktu tu hujung minggu dan lagi seminggu nak exam final.

Sekarang, lagi 2 hari Marwan nak masuk 7 bulan. Alhamdulillah Marwan dah boleh duduk dan merangkak dgn baik sepenuhnya kira-kira 4-5 hari lepas. Sebelum ni dalam 2-3 langkah je, pastu turun meniarap balik.
TAPI,

Marwan x banyak merangkak. Dia banyak minta org dukung dia, dan minta org bawak dia keluar jalan-jalan. Lagi tak bawak lagi tu dia merengek. Bila dibawa berjalan sekitar rumah senyap lah dia.  Tak kisah sape pun, kenal atau pun tak, kalau berdiri je mesti hulur tangan minta dukung.

Dan sekarang Ummi pun x blh berenggang sgt dgn si kecil ni utk waktu2 tertentu. Kadang-kadang Ummi terpaksa jalan pelan-pelan belakang Marwan supaya dia tak sedar, tapi lepas tu dia mula cari dan mula lah merengek cari Ummi.. tapi x semua waktu. Ada juga yang dia boleh bersama org lain.

Marwan dapat walker baru yang mak ngah Juhaida hadiahkan. Marwan pakai kadang-kadang je, time nak makan, time Ummi tengah siap-siap nak ke kuliah. Marwan nampak begitu sernok pakai walker sbb dia bebas nak ke mana-mana. Ni mesti Marwan tgh tunggu nak dapat kaki ni. Siap lah Ummi Abi nak kena kejar dia!

Mainan Marwan?
Hanset, remote TV, bekas tupperware, gelas plastik, botol, buku, surat khabar.. hehe. Marwan lebih minat brg2 macam ni berbanding mainan2 dia yang Ummi belikan.

Marwan pun dah pandai tlg Ummi mengemas.
Dia pandai baca surat khabar, belek satu-satu dan koyakkan mana yang perlu.
Dia pandai keluarkan balik baju2 dalam beg yang Ummi dah lipat, mungkin nak cek baju mana yang Ummi masukkan :)

Setakat ni alhamdulillah, biarpun Marwan dah mula makan makanan pejal, tapi Marwan masih menyusu badan sepenuhnya. Syukur ya Allah atas nikmat yang tidak terhitung. Mudah mudahan Allah permudahkan saya utk menyusu Marwan sehingga 2 tahun. Amin Ya Allah..

Erm, apa lagi ya?

Waktu bangun tidur Marwan tetap. Kira-kira 5.30 pg - 6.00 pagi. Kadang-kadang saya dan suami masih belum bangun, tgk2 Marwan dah bangun. kadang-kadang bila saya sedar, Marwan sedang setia menanti saya bangun di tepi sambil tangan memicit hidung, mulut dan muka saya.
Waktu bangun pagi dia tak menangis. Dia akan buat kerja sendiri, dan bila saya bangun Marwan akan tersengih depan saya..
Jarang saya tgk Marwan bangun dengan muka masam. Marwan memang seorang yang ceria dan mudah tersenyum.. Jadi saya bangun tidur selalu terhibur dgn gelagat Marwan. Itulah yang mewarnakan hari-hari saya..Terima kasih Marwan! :)

Jangan lupa doa utk anak. Doa seorang ibu makbul.

Ya Allah, semoga anakku ini membesar dalam kasih sayang manusia dan kasih sayang Mu, dorongkanlah aku dan suamiku utk membesarkan pejuang kecil Marwan Majdi dengan jiwa tarbiyah, biah keislaman dalam mengenalMu dan RasulMu...
Tiada daya dan kekuatan melainkan dariMu Ya Allah... Amin Ya Rabb

Baiti Jannati

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Marwan Majdi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails