Followers

Wednesday, February 11, 2009

KEMBARA ILMU : SEJAUH MANA PENGHAYATANNYA ?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
“Exam final semakin menghampiri. Debaran kian kencang bergolak di dalam dada. Apakah keputusanku kali ini adalah yang terbaik, atau yang terburuk atau cukup-cukup makan?”
Tepuk dada, cek usaha.
Sahabat-sahabat pencinta ilmu sekalian,
Dalam meniti kembara kehidupan ini, pernahkah kita terfikir sucikah ilmu yang kita peroleh selama kita menimbanya sepanjang berlalunya usia kita? Atau sejauh manakah ilmu yang kita tuntut mampu mendekatkan diri kita kepada Ar-Rahman sekaligus mendekatkan kita kepada pintu syurga yang mana menjadi destinasi abadi setelah tamatnya kembara musafir kita di muka bumi ini atau hanya memenuhi tuntutan duniawi semata?
Mengimbau kembali kisah-kisah silam pasti membuatkan kita kagum dengan dengan ketokohan dan kehebatan mereka dalam menuntut ilmu. Antaranya Al-Faruq Umar bin al-Khattab r.a, terkenal sebagai seorang yang ahli dalam bidang fekah dan berijtihad dalam pentafsiran wahyu, dan mengambil hukum dari ayat-ayat al-Quran , Sa’id bin al-Musayyab adalah sayyid al-Tabi’in sama sekali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah dengan al-Imam selama 60 tahun, dan beliau pernah menempuh perjalanan 3 hari semata-mata utk menuntut sebuah hadith Rasulullah saw. Manakala Malik bin Anas, imam Dar al-Hijrah (Madinah), penulis kitab al-Muwatta’ , kitab yang amat bermanfaat bagi umat Muslimin, seluruh umurnya dihabiskan untuk menuntut hadith sehingga beliau meriwayatkan hadith dari 70 syaikh. Lihatlah pula Ibnu Hibban, penulis kitab al-Sahih, seorang muhaddith yang mengelilingi pelbagai negeri dan kota untuk menuntut ilmu. Beliau amat mahir dalam bidang hadith sehingga beliau mampu meriwayatkan 2000 hadith. Dan ramai lagi ulama-ulama yang mana menampilkan kesungguhan dan akhlak yang mulia untuk meraih ilmu sebanyak mungkin. Barangkali nama-nama ini cukup asing bagi kita lantaran kita tidak mengambil cakna dengan sejarah-sejarah Islam dan tertipu dengan bermacam fakta yang mana mengangkat tokoh-tokoh barat sebagai sumber ilmu yang agung.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Kata Syaikh Ibn ‘Atha’illah As-Sakandari, “Sesungguhnya kampung akhirat dijadikan sbg tempat pembalasan hamba-hambaNya yang mukmin, kerana kampung dunia ini tidak mampu menampung apa yang hendak diberikanNya”. Oleh itu, hadapkanlah hati kita menuju ke kampung akhirat kerana di situlah tempat Allah memuliakan hambaNya dgn membalas amal-amal baik mereka. Nabi melukiskan:
“Andai dunia ini menurut Allah sebanding dengan sayap seekor nyamuk, maka ia tidak akan memberikan minum seteguk pun darinya terhadap orang kafir”. (HR. Ibnu Majah)
Setelah menanamkan makna kehinaan dunia di hati kita, segera menyusul dengan berita gembira buat kita bahawa buah amal juga bisa dipetik di dunia. Inilah tanda kasih sayang Allah pada kita. Bukan bermakna segala amalan yang baik hanya akan dibalas di akhirat dan dunia hanya tempat untuk diuji.
Pernyataan-pernyataan ini sebenarnya sebagai satu motivasi kepada kita untuk mengejar nikmat-nikmat dunia yang baik yang Allah sediakan untuk manusia. Sesungguhnya kejayaan di arena perjuangan ilmu merupakan sesuatu yang perlu kita kejar. Akan tetapi, tidaklah bermakna ianya adalah cita-cita tertinggi kita. Apa guna kalau CGPA 4.0 berada dalam genggaman namun solat dan Al-Quran terletak di tangga yang tercorot. Apatah lagi ilmu-ilmu asas agama yang ditinggalkan dan dianggap tidak penting dan bersifat kuno. Hakikatnya, apabila sesorang itu berilmu namun tidak punya rasa takut pada Allah, maka orang itu hanya memiliki ilmu dunia.
“Mereka hanya mengetahui yang lahir dari kehidupan dunia, sedang tentang (kehidupan) akhirat mereka lalai”. (Ar-Rum:7)

Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Hidup ini seperti roda. Kadang di atas, kadang di bawah. Kadang tertinggi kadang tercorot. Kadang-kadang begitu cepat usaha kita berhasil. Namun, kadang-kadang begitu lambat kita mendapat apa yang diusahakan sehingga tertinggal jauh di belakang. Apabila berada di kondisi ini, tidak sedikit yang memilih untuk berputus asa, lantas bersikap sambil lewa tanpa berusaha. Andai kita memilih sikap ini, perhatikanlah iman kita. Adakah ianya betul-betul kukuh atau rapuh?
Kerana sifat orang yang tulus ‘ubudiyahnya (penghambaan) dan melaksanakan hak-hak rububiyah (ketuhanan), jiwanya kuat. Dia pasti begitu yakin tertahannya rezeki daripada Allah bukan bermakna rezekinya tiada. Namun Allah menguji dan melatihnya untuk berusaha dengan lebih gigih. Orang mukmin seperti ini dimotivasikan oleh Allah supaya sentiasa bersikap optimis dengan kegagalan, dan redha dan tawadhuk dengan kejayaan. Mudah-mudahan kitalah orang mukmin seperti ini, insyaAllah.
Sahabat-sahabat sekalian,
Antara sebab mengapa ilmu-ilmu terdahulu masih lagi releven dan digunakan sehingga sekarang adalah kerana mereka begitu menjaga keberkatannya. Perjalanan kembara ilmu sangat panjang dan mereka begitu melaluinya dengan berhati-hati. Bermula dengan niat yang ikhlas, menjaga adab dengan ilmu, dengan guru, dengan ibu bapa, sahabat-sahabat serta iringan doa dan munajat yang tidak putus-putus. Inilah rahsia kejayaan mereka, dan mereka berjaya dalam keadaan yang barakah dan rahmat daripada Allah SWT.
Andai kita bandingkan keadaan mereka dengan keadaan kita, sejauh mana kita telah menjaga keberkatan ilmu yang kita dapat. Nilai sahaja diri kita yang selalu datang lambat ke kelas, meniru kuiz, tidak hormatkan lecturer, ponteng kelas dan sebagainya. Kita begitu alpa untuk memikirkan soal akhlak kita dengan guru, melainkan apa yang kita inginkan hanyalah keputusan yang cemerlang di CFS ini. Sama-samalah kita bermuhasabah, agar apa yang kita kejar selama ini bukanlah fatamorgana semata, tetapi adalah kejayaan hakiki yang dipandang oleh Allah SWT.
Akhirul kalam, dengan masa yang berbaki ini, marilah sama-sama kita mentajdidkan niat sebagai seorang talibul ‘ilm agar ilmu yang kita peroleh mendapat keberkatan daripada Allah dan restu daripada para pensyarah, serta doa daripada ibu bapa dan sahabat-sahabt, mudah-mudahan kejayaan yang hakiki itu milik kita bersama. insyaAllah.  MA’ATTAUFIQ WANNAJAH

Al-Faqir Ilallah,
Pemburu Mumtaz
http://wwwkembarasufi.blogspot.com

Rujukan:
1) Syarah Al-Hikam Ibn ‘Atha’illah As-Sakandari – Mencapai maqam Shddiqun & Rabbaniyyun – Sa’id Hawwa
2) Menyingkap rahsia kejayaan – Dr. Aidh Al-Qarni





No comments:

Baiti Jannati

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Marwan Majdi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails