Followers

Saturday, September 13, 2008

Buat temanku tersayang..




“Sekudus iman atas layar kemuliaan”
ieman_grace

Kulayarkan kasih dan cinta buatmu
Atas jalinan yang suci nan indah
Sebuah persahabatan berpintal iman
Ikatan yang kita bina

Atas dasar cinta ilahi

Hati dipaut dengan kekuatan aqidah
Lantas berukhwah menjadi ibadah
Bertemu kerana Allah
Berpisah jua kerana Allah

Sahabatku,
Masih teringat saat pertama kali bertemumu
Di medan ilmu kita dipertemukan
Kau hulurkan salam persahabatan
Saat jiwaku gersang
Kau sirami kalam muhasabah
Di saat tandus amalku
Kau suburkan Qudwah

Di saat gugur semangatku
Kau bajai quwwah
Kita beriringan dalam perjuangan ini
Suka duka kita lalui bersama
Alangkah indah tautan ini
Dibajai cinta seluas samudera nian

Tika aku gembira
Kau turut mengukir senyuman
Tika aku dirundung pilu
Kau juga bersulam duka
Tatkala aku rebah di perjalanan
Kau hulurkan tanganmu menyambutku
Kata-katamu menghiburkan aku
Menghayati kembali pesanan rasul junjungan
Perjuangan perlu diteruskan
Biar apa yang menghalang
Janji Allah tetap dikotakan

Temanku,
Usah dikesalkan ujian yang mendatang
Kerana itu lumrah kehidupan
Orang beriman pasti akan diuji
Kerana syurga itu terlalu indah
Buat hambaNya yang sabar dan redha dgn ujian
Teguhkan langkahmu sebagai mujahidah
Padukan tekad semarakkan azam
Kau mampu mencorakkan kejayaan
Di arena persada dunia
Doaku sentiasa mengiringimu wahai teman

Seindah bayangan syurga
Kau titipkanku kalam Ilahi
Buatku tenang bersamamu
Sekudus salju memutih
Sesuci hati kau menerimaku
Sebagai teman jua sahabat
Takkanku lupa kenangan kita bersama
Kerana kau terlalu berharga buatku
Moga bumi ini menjadi saksi
Cinta kita bersulam taqwa
Rangkaian hati keagungan sang Pencipta
Kau sahabat kau temanku,
Kita musafir di bumi ini
Kelak kitakan pulang mengadap Ilahi
Sirami dirimu dengan bekalan IMAN dan taqwa
Moga destinasi KEMBARA indah di penghujungnya
Biar kita derita dengan lelah dan payah
Asal di sana tinggi darjat di sisiNya
Bangkitlah dari lena yang panjang

Kau mampu mencipta taufan dan berlari kencang
Agar umat kembali gemilang dengan tangan lembutmu
Semangatmu kental sebagai mujahidah
Tak ternoda dengan kilauan dunia

Sahabat,
Pesananku jadikan pedoman
Moga kejayaan milik kita bersama
Kenangi persahabatan ini
Lakarkan memori terindah kita di hatimu
Moga ianya tidak musnah dek hati yang hitam
Tidak menyirna jua dengan perpisahan sementara
Kerana kita pasti akan bertemu di syurga kelak
Bersama golongan muttaqin dan siddiqin
Mutiara-mutiara cinta berguguran
Seharum kasturi ku merasainya
Moga ukhwahfillah ini berkekalan buat selamanya
Ukhwafillah abadan abada
“Mujahidah sejati perindu syurga”

Kembara_sufi
11.45 am
30 oktober 2007
kelantan

No comments:

Baiti Jannati

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Marwan Majdi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails