Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Lama benar tak jenguk blog ni. Sibuk? Tak lah. Cuma tak ada kemudahan internet di rumah. Jadi kalau ada kelapangan, kadang-kadang pergi juga ke CC. Boleh juga tau perkembangan semasa.
Percutian selama hampir 4 bulan harus dimanfaatkan. Rugilah kalau masa yang dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada pengisian. Semakin hari, umur semakin berkurang. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Kita sendiri tidak sedar yang kita sebenarnya semakin mendekati kematian.
Menyebut tentang kematian, akhir-akhir ini ana banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku sirah. Tak lain tak bukan, apabila ianya berkaitan dengan peperangan, pasti mati syahid menjadi idaman pejuang muslim. Mereka hebat, berjuang tak gentar. Dek kerana nikmat syurga yang Allah tawarkan pada mereka, mereka berlumba-lumba terjun di medan peperangan, menghapuskan kaum kuffar laknatullah, dengan memegang satu prinsip, ‘Mati Syahid atau Hidup Mulia’.
SHEIKH AHMAD YASIN atau nama sebenarnya Ahmad
Ismail Yasin, seorang bintang yang popular dalam perjuangan Islam. Seorang bintang yang mana beliau bukanlah terkenal kerana ketampanan, kecantikan, suara yang merdu atau lain-lain seperti yang diraih oleh Siti, Mawi mahupun Nabil, bahkan beliau seorang yang lumpuh seluruh badan, hilang upaya melihat pada mata kanannya dan kabur mata kiri. Akan tetapi kerana semangat perjuangannnya membela Islam, dan beliau mampu menghidupkan dan menaikkan semangat pejuang-pejuang Palestin untuk terus mara kehadapan tanpa keraguan.
Bintang ini begitu dikehendaki oleh pihak Zionis. Biarpun lemah dan tidak berupaya, malah apabila hendak bergerak pun memerlukan pertolongan orang lain, namun beliau tetap digeruni oleh musuh. Beberapa serangan peluru berpandu yang dilancarkan dari helicopter Apache dan jet pejuang F16 gagal mengenai tubuh lemah itu, hinggalah pada pagi Isnin 22 Mac 2004, ketika baru selesai menunaikan sembahyang Subuh berjemaah di masjid, tokoh utama dalam perjuangan umat islam Palestin ini gugur syahid setelah tubuhnya hancur berkecai diletupkan oleh peluru berpandu.
Hilangnya seorang bintang popular. Jasadnya disemadi, rohnya mengadap Ilahi, namun namanya tetap di hati.
Soalnya, dengan jasad yang lumpuh dan tidak berupaya, beliau masih mampu dan tetap gah mewarnai arena perjuangan dengan ketaqwaannya pada Allah. Zionis yang lengkap dengan senjata pun gerun pada Sheikh Ahmad Yasin ini. Ketokohan pejuang ini eloklah dijadikan iktibar bagi kita yang sihat walafiat dan seringkali mencari alasan. Kononnya kita masih lagi belajar, dan tidak mahu memikirkan hal-hal jihad. Atau tidak cukup ilmu, harta tidak ada, ibu bapa tidak mengizinkan, berpenyakit, diri masih muda, rakan-rakan tidak membantu… seribu alasan dicari semata-mata untuk menjadikan diri tidak layak lagi untuk menjejakkan kaki di medan perjuangan. Menuntut ilmu juga adalah ruang jihad. namun, apabila hanya sekadar mengejar keuntungan duniawi, maka ia tidak lagi dikira jihad kerana ianya hanya menguntungkan diri, bukanlah mengungtungkan Islam.
Teringat kisah seorang srikandi Islam, yang dipanggil Ummu Mahjan. Beliau seorang wanita yang berkulit hitam, miskin dan bertubuh lemah. Beliau menyedari bahawa dirinya memiliki kewajipan terhadap akidahnya dan masyarakat Islam, lalu apa yang boleh beliau lakukan padahal beliau adalah seorang wanita yang tua dan lemah? Akan tetapi beliau sedikit pun tidak bimbang dan ragu-ragu dan sedikit pun tidak ada rasa putus asa dalam hatinya. Putus asa adalah perkara yang tidak dikenal di hati orang-orang yang beriman. Begitulah, keimanan beliau telah menunjukkan kepadanya untuk menunaikan t’jwab yang besar. Maka beliau membersih kotoran dan dedaun daripada masjid dan beliau menjaga kebersihan rumah Allah (masjid) kerana dengan tubuhnya yang lemah, itu sahaja yang mampu beliau lakukan.
Ummu Mahjan tidak memandang remeh soal menjaga kebersihan kerana itu sememangnya dituntut dalam Islam. Beliau terus menerus melakukan pekerjaan tersebut dan akhirnya wafat. Rasullulah menyedari akan kehilangan beliau lalu menyolatkannya di kuburnya, lalu bersabda:
“Sesungguhnya kubur ini terisi dengan kegelapan ke atas penghuninya dan Allah meneranginya bagi mereka kerana aku telah menyolatkannya”. Semoga Allah merahmati Ummu Mahjan yang sekalipun beliau adalah seorang yang lemah dan miskin, namun beliau telah berperanan sesuai dengan kemampuannya.
Lihat pula keadaan diri kita yang hidup dengan serba kemewahan dan kesenangan. Hendak apa semua ada. Lantaran sering berada di zon selesa, kita menjadi pengecut untuk menjadi anak muda yang mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, idealism untuk merubah dan menjadi agen perubahan. Masa tidak menunggu kita. Ayuh, kita mulakan azam baru. Tajdidkan niat, dan usah menjadi pejuang yang sentiasa beralasan. Kerana jika Sheikh Yasin beralasan kerana sakit dan lumpuh, mana mungkin beliau mampu menjadi perwira agama, menemui Tuhan dengan senyuman. Semoga Allah merahmati roh beliau. Amin.
Rujukan:
1) Ahmad Yasin dan Rantisi dalam kenangan, karangan Ibnu Ismail.
2) Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah SAW, karangan Puan Amina dan Kamilarini.
No comments:
Post a Comment