Followers

Sunday, January 18, 2009

ADAM DAN KURA-KURA

“Adam seorang budak berumur 6 tahun. Dia ada seekor kura-kura yang diberi nama Iqbal. Kenapa nama Iqbal? Sebab itu nama kawan baik dia yang terpaksa pindah ke tadika lain. Sekurang-kurangnya bila nampak Iqbal, dia akan teringatkan pada sahabatnya itu yang dikatanya berjalan sangat lambat seperti kura-kura.

Iqbal ditatang bagai minyak yang penuh. Walaupun Adam masih kecil, dia mampu menguruskan kura-kuranya dengan baik. Setiap pagi, setiap kali bangun tidur, Adam mesti akan pegi jenguk Iqbal dulu. Mandikan dia, cuci akuarium, dan bagi makan. Adam bersyukur sbb Iqbal ni takla makan mewah sgt macam KFC, Pizza Hut, Domino, McDonald dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Paling koman pun, kura-kura dia minta sayur yang ada kualiti dan bermutu tanpa racun je. Alah, x guna modal pun. Pastu, lepas nampak kura-kuranya macam dah senang hati, baru Adam uruskan diri dia. Siang atau malam Adam pasti akan bersama dengan Iqbal. Ke mana dia pergi, di situ akan di bawa Iqbal. Ke bendang, ke padang, ke tadika, ke kelas mengaji, atau ke swimming pool (empangan belakang rumah). Sampaikan Adam pun dapat gelaran ‘Adam Kura’ di kampungnya.

Adam ni ada 5 beradik. Dia yang kedua. Adik beradik dia semua laki. Mak dia marah dia tiap-tiap hari sebab dia terlalu asyik dengan kura-kura dia. Ayah dia pulak sibuk bekerja. Adam kesunyian. Sebab tulah Adam seronok bela kura-kura,sekurang-kurangnya ada juga teman. ”, aku menjelaskan dgn nada bercerita.

Jadi,kakak nak tanya. Adik-adik tau tak kenapa Adam sanggup jaga Iqbal walaupun dia tau Iqbal tak blh bagi apa-apa kat dia?,” soal aku pada peserta program Kem Remaja Unggul yang diadakan di Perlis.

“Sebab dia boring”, jawab salah seorang peserta.

“Sebab tu hobi dia”, jawab yang lain.

“Sebab dia tak reti jaga binatang lain”, teka peserta yang duduk di belakang sekali.


Mari kakak jwb. Sebabnya, itulah yang dinamakan KASIH SAYANG. Adam kasihkan binatang peliharaannya ciptaan Allah SWT. Walaupun Adam tahu Iqbal tak dapat beri apa-apa pada dia, Adam sanggup menjaganya dengan baik lantaran perasaan kasih dan sayang yang wujud dalam dirinya. Adam gembira kalau Iqbal senang hati. Adam gelisah kalau Iqbal gundah hati. Seolah-olah Adam dapat merasakan semua perasaan Iqbal walaupun hakikatnya Iqbal hanya seekor kura-kuranya”, aku menjelaskan panjang lebar.

Aku mengakhiri ceramahku yang bertajuk Kasih Sayang dengan kisah-kisah sirah silam yang menjadikan kasih sayang Rasulullah pada keluarga, sahabat serta umatnya sebagai contoh teladan pada peserta. Aku juga menekankan hadith Rasulullah Saw yang bermaksud, “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri”. Mudah-mudahan, kedatanganku dari USIM ke bumi kayangan itu tidak sia-sia. Aku amat mengharapkan respon positif dari peserta agar memahami tajuk yang aku bentangkan malam itu.

* * * * * * * * * * * *

“Menung jauh nampak? Apa yang dimenungkan tu?”, Alia menyapa aku yang asyik memandang ke luar tingkap di dalam bas. Aku dan beberapa orang lagi fasilitator dari USIM pulang semula ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Riak mega di awanan menunjukkan tanda-tanda air dari langit mahu menyimbahi bumi. Aku berdoa dalam hati, semoga perjalanan ini selamat. InsyaAllah.

“Tak ada apa Alia. Ana cuma teringatkan keluarga”, aku menjawab sekadarnya sambil mula menunjukkan tanda-tanda untuk tidur. Mungkin dengan cara itu Alia akan faham dan tidak mengajak aku untuk berbual panjang. Barangkali banyak yang ingin dibualkan. Maklumlah, seronok benar aku tengok dia dibawa berjalan-jalan ke Batu Pahat, Perlis. Kalau tak kerana aku yang nak pulang awal ke rumah mak angkat, tentu dia dapat berjalan banyak tempat lagi. Ah, apa aja yang ada di Perlis. 5 tahun aku di negeri kayangan itu, tentu sahaja aku kurang berminat untuk berjalan-jalan kerana dah banyak tempat aku lawati sepanjang tempoh persekolahan menengah di situ.

Walaupun aku pejamkan mata, akal dan hatiku tidak. Fikiranku menerawang memikirkan hal lain. Memori lama menggamit kembali mengusik hati.

“Abah minta maaf. Lupakan hal dulu, kita bina hidup baru”, kata Abah dalam perjalanan menghantarku ke stesen bas.

Aku terdiam. Tiada apa untuk dikatakan. Abah mengimbau kembali kenangan lama keluargaku yang cukup memeritkan.

Rembesan air mata tidak dapat kuhentikan. Aku sebak mendengar kata-kata abah. Mak dan abah tak bersalah. Kata ustazahku, seorang anak harus ikhlas untuk menjadi seorang anak. Tidak diharapkan kasih sayang dari mereka, tetapi kitalah sebagai anak yang harus memberi kasih sayang kepada mereka.

“Mungkin abah terlalu sibuk sehingga mengabaikan anak-anak abah. Abah tahu kesalahan abah dan mak ”, Abah menjelaskan lagi dengan merendah diri dgn nada kekesalan.

Aku mendoakan di dalam hatiku, semoga Allah merahmati seorang abah yang membantu anaknya untuk berbakti kepadanya. Doaku kuambil daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban.

Aku diam lagi. Tidak tahu apa yang harus kukatakan. Benar, kurasai kekeringan aroma kasih dan sayang dalam keluargaku. Tak ada rahmat, mawaddah serta mahabbah. Aku impikan itu semua dalam keluargaku. Aku mengharapkan keluargaku dapat menjadi keluarga sakinah, keluarga yang penuh dengan keberkatan dengan alunan Quran dan ilmu akhirat, serta dengan sulaman kasih sayang paduan iman yang berpanjangan. Aku impikan semua itu..

Ketika aku berada jauh di rantauan menuntut ilmu, seingat aku hanya beberapa kali aku pulang ke rumah. Itu pun tidak sepenuh hati. Aku pun hairan, kenapa wujud perasaan itu dalam diriku. Pperasaan yang tidak sepatutnya bagi seorang anak. Aku kecil hati, mak tak pernah berlembut denganku. Setiap perbualan ada sahaja yang hendak dimarahnya. Dari dulu hinggalah sekarang, begitulah keadaan keluargaku.

Kini aku harus memanjatkan selautan syukur pada Allah, atas tarbiyah yang kuterima di pusat pengajianku. Aku telah matang untuk memikirkan hikmah di sebalik semua ini. Segala ilmu yang aku dapat di ruang legar ta’lim dan usrah harus diadaptasikan ke dalam keluargaku. Aku tahu, ada taklifan berat terpundak di bahuku memandangkan hanya aku yang mempunyai kefahaman sedemikian.

Satu mementum perubahan pada keluargaku harus direncanakan. Aku mengambil inipati daripada ayat Quran yang kubaca saban hari;

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang tuanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang tuamu hanya kepada Ku engkau kembali”

(Luqman: 14)

Biar sejarah silam itu ditulis di atas pasir, agar mudah hilang ditiup angin. Namun, lakarkan segala jasa dan pengorbanan kedua ibu bapamu di atas batu, agar tidak hilang walau berlalu zaman. Kini aku tahu, betapa berharganya nilai sebuah kasih sayang. Tiadanya kasih sayang umpama masakan tidak bergaram. Tawar dan hambar, tidak enak untuk dinikmati.

KASIH SAYANG, elemen utama di dalam konsep kekeluargaan. Biarpun harta melimpah ruah, biarpun kita keturunan setinggi kerabat diraja, biarpun kita secerdik mana, kasih sayang tetap menjadi keutamaan. Jadi, jadilah orang yang menyayangi, insyaAllah, kita akan disayangi. “Indahnya kasih sayang kerana keikhlasan, dan segala-galanya kembali kepada keutuhan iman”

Itulah pesanku pada adik-adik peserta program sebelum aku menamatkan ceramahku di Perlis.

Hanya Sekadar Cerpen

Nukilan : Kembara Sufi

4.49 pm / Ahad / 18 Jan 2009

No comments:

Baiti Jannati

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Marwan Majdi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails